Pages

Wednesday 4 February 2015

Pengalaman Seorang Suri Rumah Berbisnes Online

Sejak berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa, banyak masa dihabiskan dengan tugasan mengajar blog dan juga menjual online.  Saya seronok sebab saya minat dan jika satu hari tidak mengadap blog dan menjual di online rasa tidak lengkap!  Masa yang saya hadkan untuk bisnes online saya adalah 3 jam sahaja di waktu pagi dan 3 jam di waktu petang.  Malam masa untuk melihat status, kemas kini dan sebagainya jika ada tempahan dan pertanyaan daripada pelanggan. Walaupun begitu, sebagai empunya kedai online, wassap saya sentiasa dipenuhi dengan pertanyaan pelanggan yang sentiasa bertanya.  Kadang-kadang sampai tidak terjawab tetapi sebagai pelanggan kita perlu melayan dengan hormat.  Ada juga kadang kala pertanyaan dijawab agak lambat sebab ada tugasan lain.  Jadi sebelum tidur, saya akan pastikan semua pertanyaan pelanggan telah dijawab.

Seawal pagi, sesudah subuh, saya akan membuka kedai online dan menyemak jika ada komen, status dan order daripada pelanggan.  Catitkan dahulu dan setelah itu teruskan tugasan di dapur dahulu. Menyiapkan anak ke sekolah, membuat sarapan untuk anak dan menghantar anak ke sekolah dahulu. Setelah itu, balik ke rumah dan sambung tugasan di dapur.  Memasak untuk tengahari.  Jika ada tugasan lain di luar, perlu keluar dan siapkan tugasan tersebut.  Jika tidak, saya akan sambung kerja di kedai online saya dan lain-lain seperti kemas kini blog, semak email.  

Pukul 12.00 mengambil anak balik dari sekolah dan tugasan tengahari menanti.  Makan bersama-sama dan masa bersama dia.  Berborak dengan anak dan tanya apa yang dia belajar di sekolah pada hari tersebut.  Anak saya ini baru 4 tahun dan bersekolah tadika. Biasanya setelah dia tidur tengahari, saya akan sambung tugasan di kedai online saya. Masa bergantung kepada waktu tidur dia.  

Petang tugasan lain pula.  Masa untuk bermain dengan anak seperti main bola dan basikal. Menyiram pokok dan menyapu sampah di laman adalah satu kemestian.  

Malam adalah masa untuk bersama famili.  Makan bersama-sama dan masih lagi bermain atau membaca buku bersama anak.  Setelah dia tidur, saya akan menyemak lagi kedai dan menjawab semua pertanyaan daripada pelanggan yang tidak sempat dijawab pada waktu siang hari dan petang. Setelah itu, tulis senarai untuk esok hari.  Semak catatan, akaun dan lain-lain yang berkaitan.  

Berbisnes online ini pada pendapat saya, memang menyeronokkan jika kita suka dan jatuh cinta dengan bisnes kita.  Jika buat sambil lewa, tidaklah seronok mana pun!

Buat target untuk hari esok.  Sebagai contoh, jika kita inginkan RM100, jadi apa yang perlu dibuat. Buat jualan.  Jika buat dropship, cari barangan yang dijual untuk dapatkan komisen RM50 untuk setiap jualan.  2 barangan sudah RM100.  Nampak mudah tetapi jika fokus buat, mesti dapat.  

Saya rasa setakat ini sahajalah pengalaman berbisnes secara online dari saya.  InsyaAllah, di lain entri saya sambung lagi ya.

Saya tidaklah sehebat mana pun.  Hanya sekadar berkongsi pengalaman.  Jika ada yang lebih hebat dari saya, boleh kongsikan bersama saya ya.

Salam sayang.



No comments: